Cuaca hujan, Disaman penguatkuasa PBT tidak halang rakyat mendapatkan ikan murah

SHAH ALAM 23 Nov. – Walaupun dalam keadaan hujan lebat, kira-kira 5,000 warga Shah Alam tetap setia menunggu di tapak pasar malam di Seksyen 7, di sini bagi mendapatkan bekalan ikan segar dengan harga rendah sempena Program Jelajah Jualan Ikan Murah anjuran Gabungan NGO Malaysia dan UMNO Bahagian Shah Alam, hari ini.

Dalam program itu, rata-rata orang ramai didapati hadir seawal pukul 3 petang lagi sebelum jualan tersebut bermula kira-kira pukul 4 petang yang dikendalikan Ketua UMNO bahagian itu, Datuk Azhari Shaari serta Penyelaras Pembangunan Persekutuan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Anggerik, Datuk Nor Hisham Ses.

Dalam program itu, sebanyak 5,000 kilogram atau lima metrik tan ikan yang terdiri dari jenis kembung, cencaru dan selayang dijual kepada orang ramai dengan harga RM5 sekilogram termasuk ayam pada turut dijual pada harga yang sama bagi setiap kilogram.

Azhari ketika ditemui dalam program jelajah itu memaklumkan kesemua ikan dan ayam itu habis dijual dalam tempoh dua jam sekaligus menunjukan sambutan rakyat terhadap program itu adalah luar biasa sebelum pihak penguatkuasa Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) mengarahkan jualan berkenaan dihentikan termasuk mengeluarkan saman kepada pihaknya kira-kira pukul 6.15 petang ini.

“Kita akui bahawa isu peningkatan kos hidup ketika ini merupakan antara yang menjadi keutamaan bagi rakyat khususnya di kawasan Parlimen Shah Alam. Bagaimanapun, kita amat memahami akan permasalahan ini yang mana perkembangan itu kita dapati turut berlaku di negara-negara lain di seluruh dunia.

“Maka, kita ambil inisiatif dengan mengadakan program jualan ini dengan kerjasama daripada Gabungan NGO Malaysia dan Persatuan Penduduk Pengsapuri Seksyen 7. Dengan adanya jualan ini, kita harapkan rakyat dapat menjimatkan perbelanjaan harian mereka.

“Program jualan ini merupakan kali kedua kita adakan di Parlimen Shah Alam yang mana kali pertamanya kita buat di Seksyen 24. Kita akan teruskan program ini pada masa depan meskipun mendapat halangan-halangan tertentu kerana kita memikirkan beban rakyat,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Sementara itu, Nor Hisham yang juga Naib Ketua UMNO Bahagian Shah Alam berhasrat untu mengadakan program jelajah jualan ikan itu secara bulanan memandangkan sambutan yang positif daripada rakyat.

Malah, beliau turut mengingatkan kerajaan negeri yang sepatutnya menyokong usaha pihaknya meringankan beban rakyat yang ketika ini terhimpit dengan kos sara hidup di Selangor.-ABDUL RAZAK IDRIS