Umno perlu kongsi cerita kejayaan, tolak persepsi palsu

SHAH ALAM – Berita kejayaan Umno perlu dikongsi kepada rakyat bagi menolak persepsi palsu yang ditaburkan pembangkang.

Ketua Penerangan Umno, Tan Sri Annuar Musa berkata, kejayaan seperti pencapaian Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak tidak seharusnya rasa malu untuk dikongsi.

“Jadi apa salahnya jika kita kongsi berita ini memandangkan ada sahaja pihak yang cuba tenggelamkan pencapaian ini dengan persepsi palsu kononnya negara diambang kebankrapan dan sebagainya.

“Justeru, wajar jika jentera penerangan lakukan wacana seperti ini dalam usaha melawan perang persepsi yang dibawakan pembangkang,” katanya ketika sidang media, Bicara Minda dan Sesi Dialog Perjuangan malam ini.

 Sementara itu, Annuar percaya bahawa menjelang PRU14, pengundi dapat menilai dengan baik antara BN dan pembangkang.

“Trend kini kita dapat lihat kebijaksanaan rakyat makin terserlah dan mereka tidak mudah tertipu dengan berita palsu ataupun politik kebencian.

“Oleh itu, menjelang PRU nanti mereka tidak akan mengundi mengikut sentimen tetapi berdasarkan penilaian parti mana yang lebih layak memerintah,” katanya lagi. – SINAR ONLINE