Ahli Parlimen Rompin, Datuk Seri Hasan Arifin berkata, Umno ditubuhkan berasas linangan air mata para cendekiawan, ulama, raja-raja, dan rakyat

“Oleh itu, Umno tiada dosa besar pada kita, ia ada karomah,” katanya dalam program Bicara Minda dan Sesi Dialog Perjuangan, malam ini.

Sementara itu, beliau turut menekankan kekecewaannya terhadap bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang kini yang menentang Umno.

“Mahathir jahat, dia peralatkan Umno. Sedangkan dia tidak terlibat pun dengan perjuangan Umno sejak awal.  Umno hanya alat pada dia, sebab perjuangan parti ini tidak mengalir dari darah dia sendiri berbanding dengan pemimpin lain.

“Ini yang anak muda kena faham, lihatlah, mudah sahaja dia keluar masuk parti sesuka hati,

kalau betul ada kecintaan pada parti, dia tidak akan berbuat demikian,”katanya.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) berkata, sebab utama Mahathir begitu marah dengan Najib kerana Perdana Menteri tidak mengikuti dasar pemerintahannya.

“Beliau (Mahathir) marah sebab legasi dia dah tiada bila Najib tukar semua dasar pemerintahannya,”katanya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Pendang, Datuk Wira Othman Abdul merasakan kerajaan sedia ada ini tidak perlu ditukar.

Menurutnya, rakyat seharusnya mengambil iktibar daripada negara-negara yang cuba menggulingkan kerajaan.

“Tengok negara-negara yang cuba gulingkan kerajaan, apa jadi? Jadi ingatlah bahawa tiada untung sedikit pun jika ingin jatuhkan kerajaan demokrasi yang sedia ada ini,” katanya.

Beliau turut memuji Najib yang tenang hadapi tohmahan daripada pembangkang.

“Najib senyum je, tengok isteri pun senyum je, masih mampu bersabar. Insya-ALLAH, pemimpin inilah yang boleh membawa kita ke arah lebih baik pada masa akan datang,” katanya lagi – SINAR ONLINE