Kerajaan Selangor gagal banteras ajaran sesat – UMNO Selangor

KUALA LUMPUR: Peningkatan ajaran sesat di Selangor membuktikan kegagalan kerajaan negeri itu dalam usaha menjaga kesucian dan akidah umat Islam daripada dicemari.

Ketua Penerangan UMNO Selangor, Datuk Zein Isma Ismail berkata, ia sekali gus mendedahkan risiko rakyat negeri itu kepada ajaran-ajaran yang terpesong dari Islam sebenar.

“Pendedahan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) baru-baru ini agak mengejutkan apabila sehingga tahun 2016, terdapat 34 ajaran sesat yang telah difatwakan oleh Jabatan Agama Islam Negeri Selangor.

“Bagi saya, pendedahan yang dibuat oleh JAIS menerusi khutbah Jumaat itu adalah suatu khabar yang amat mendukacitakan dan perlu dipandang serius oleh kita sebagai umat Islam.

“Pendedahan ini juga secara tidak langsung membuktikan dengan jelas bahawa pentadbiran kerajaan negeri pimpinan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali seolah-olah tidak mengambil berat dalam soal menjaga kesucian Islam ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Jelasnya, keadaan itu semakin hari semakin teruk dengan terbukti peningkatan kadar ajaran sesat kini.

“Sehingga ke hari ini apa pendekatan yang dibuat oleh kerajaan negeri dalam mengekang gerakan ini?

“Kerajaan negeri bertanggungjawab dalam soal hal ehwal Islam kerana ia di bawah bidang kuasa kerajaan negeri, bukannya kerajaan pusat,” tegasnya.

Jelasnya, penambahan ajaran sesat berlaku adalah berkemungkinan disebabkan sikap kerajaan Pakatan Harapan di Selangor yang tidak mengambil berat soal akidah umat Islam.

“Ia secara tidak langsung mengenepikan aspek menjaga kesucian agama dan akidah umat Islam di negeri ini.

“Maklumlah, di dalam PKR, semua bangsa ada. Macam mana pemimpin PKR Melayu nak bersuara, kalau bersuara pun, mungkin tidak akan dilayan. Biarpun Menteri Besar daripada PKR, hakikatnya hari ini yang paling banyak memiliki kerusi di Selangor adalah DAP, setelah Pas terpecah dua.

“Sebab itu sehingga ke hari ini tidak ada sebarang penambahbaikan dari sudut perundangan yang dilakukan oleh mereka untuk memartabatkan kedudukan syariat Islam,” katanya.

Zein turut meminta umat Islam terutama di Selangor supaya sedar akan hakikat yang sedang berlaku.

“Jika kita sayangkan agama Islam, jika kita ingin memastikan akidah umat Islam berlandaskan ajaran sunnah wal jemaah terus terpelihara, maka umat Islam perlu membuat perubahan dengan memilih kerajaan yang lebih prihatin dan tegas dalam menjaga hal ehwal umat Islam di negeri ini,” ujarnya.

Menurut Zein, penambahan kumpulan ajaran sesat di Selangor mungkin tidak akan berlaku sekiranya negeri ini ditadbir oleh UMNO yang menjadi tunjang kepada Barisan Nasional (BN).

“UMNO mempunyai dasar yang jelas berhubung kesucian agama Islam dan juga memelihara akidah umat Islam bukan sahaja di negeri, tetapi juga negara untuk memastikan tidak ada mana-mana ajaran yang terkeluar dari landasan Islam yang sebenar dan dapat berkembang serta bercambah sepertimana yang berlaku di Selangor hari ini.

“Jika kita mempunyai kerajaan yang tidak peka dan tidak prihatin dalam usaha untuk memperkukuhkan ajaran dan akidah umat Islam, maka kita bakal melihat lebih banyak lagi ajaran-ajaran sesat serta fahaman liberal yang songsang tumbuh mekar di negari ini.

“Justeru, dalam memilih kerajaan hari ini, umat Islam tidak boleh sekadar menimbang tara atas faktor politik semata-mata, tetapi apa yang lebih penting ialah untuk memikirkan tentang keselamatan akidah dan syiar Islam dapat terus terpelihara daripada sebarang ajaran-ajaran yang sesat lagi menyesatkan,” jelasnya.

Teks Khutbah Jumaat yang dikeluarkan JAIS bertajuk  ‘Banteras Ajaran Sesat’ pada 27 Oktober lalu telah mendedahkan peningkatan ajaran sesat di negeri tersebut.

Sehingga akhir 2016, terdapat 34 ajaran yang telah difatwakan sesat oleh Jawatankuasa Fatwa Selangor.

Daripada 34 ajaran itu, terdapat sebanyak 302 ciri-ciri kesesatan dan penyelewengan yang bercanggah dengan ajaran Islam yang sebenar.

Sebanyak 182 adalah kesesatan akidah, 77 kesesatan berkaitan syariat dan 43 adalah kesesatan berkaitan akhlak. – AWANI ONLINE