Penghapusan Tol Batu 3, Sungai Rasau bukti keprihatinan kerajaan

Penamatan operasi Plaza Tol Batu Tiga dan Plaza Tol Sungai Rasau di Lebuhraya Persekutuan bukti jelas kerajaan Barisan Nasional (BN) pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sebuah kerajaan yang peduli rakyat.

Timbalan Pengerusi BN Selangor, Datuk Mat Nadzari Ahmad Dahlan berkata, pemimpin setempat termasuk UMNO Bahagian Shah Alam telah membangkitkan isu itu dan akhirnya suara serta keluhan penduduk didengari Kerajaan Persekutuan.

Menurutnya, ini berbeza dengan pendekatan Kerajaan PKR Selangor yang hanya tahu mempolitikkan semua perkara selain menunding jari kepada pihak lain jika tersepit dengan isu yang membabitkan rakyat.

“Pengumuman penghapusan tol itu disambut baik oleh rakyat Selangor khususnya penduduk Shah Alam dan Klang yang sering berulang alik melalui lebuh raya berkenaan.

“Terima kasih kerajaan Pusat dan Perdana Menteri kerana mendengar keluhan serta memandang serius perjuangan pemimpin setempat dalam mendesak agar kutipan di dua tol berkenaan dihapuskan,” katanya dalam satu kenyataan dis ini hari ini.

Perdana Menteri dalam Bajet 2018 yang dibentangkan hari ini mengumumkan penghapusan tol di Plaza Tol Batu Tiga dan Plaza Tol Sungai Rasau di Lebuhraya Persekutuan.

Ketika ini, penduduk Shah Alam dikenakan tol RM1.10 sehala di Plaza Tol Batu Tiga untuk ke Kuala Lumpur dan RM1 di Plaza Tol Sungai Rasau untuk ke Klang, manakala penduduk Klang pula terpaksa membayar tol RM2.10 sehala untuk ke Kuala Lumpur jika menggunakan Lebuhraya Persekutuan.

Dalam pada itu, Mat Nadzari mengajak semua pihak untuk menilai kelebihan yang dibentangkan Perdana Menteri dalam Bajet 2018 yang sudah pasti setiap lapisan masyarakat mendapat manfaat daripadanya, berbanding dengan janji-janji pembangkang.

“Lihat sahaja janji DAP di Pulau Pinang yang kononnya mahu menghapuskan tol di Plaza Tol Sungai Nyiur dalam memancing undi pada pilihan raya umum lalu tetapi sehingga kini tidak terlaksana. Kini ada pula hati memberi janji baharu mahu menghapuskan tol di seluruh negara.

“Kerajaan PKR Selangor pula mengambil pendekatan yang bertentangan dengan slogan dicanangnya iaitu ‘negeri berkebajikan’ apabila membiarkan perobohan rumah dan kedai di Masjid Lapangan Terbang Subang baru-baru ini,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE