‘Mansuh tol Batu 3, Sg Rasah bukan sebab perjuangan PKR’

Timbalan Pengerusi Umno Selangor Datuk Mat Nadzari Ahmad Dahlan berkata pemansuhan kutipan tol di Batu Tiga dan Sungai Rasah di Shah Alam yang akan berkuatkuasa Isnin ini berlaku kerana iltizam kerajaan pusat yang mendengar rintihan rakyat dan pengguna lebuh raya berkenaan melalui suara Umno Shah Alam.

“Justeru, apabila Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak tampil mengumumkan penghapusan tol di Batu Tiga dan Sungai Rasah setelah mengambil kira apa yang diperjuangkan Umno Shah Alam sejak tahun 2011, maka tampil lah apa yang yang orang kata ‘lembu punya susu sapi dapat nama.

“Hakikatnya ia adalah iltizam kerajaan pusat yang mendengar rintihan rakyat dan pengguna lebuh raya berkenaan melalui suara Umno Shah Alam.

“Maka konsesi PLUS di dua tol berkenaan yang hanya akan berakhir pada tahun 2038 ditamatkan,” kata Nadzari dalam kenyataan media hari ini.

image: https://i.malaysiakini.com/704/764858273c9c691aba6bbe5ed0a5d6e2.jpg

Beliau juga menempelak majlis sambutan khas anjuran Parti Keadilan Rakyat negeri Selangor berhubung pemansuhan to tersebut

“Adun Batu Tiga daripada PKR tanpa segan silu mengajak orang ramai menghadiri sambutan khas ‘Tamat Tol, Bebas Rakyat’ dengan mendabik dada kononnya penghapusan kutipan tol yang ditinggalkan ketika era Tun Dr Mahathir Mohamad itu ada kena mengena dengan perjuangan mereka,” katanya.

Beliau berkata rakyat tidak buta untuk menerima bulat-bulat fakta songsang yang diputar-belit pemimpin PKR di Selangor yang ternyata suka mendakwa hanya mereka yang terbaik dan orang lain semuanya salah.

“Rakyat mampu menilai siapa sebenarnya yang cakap serupa bikin,” katanya.

Dalam kenyataan itu juga, Mat Nadzari turut mengundang ke sebuah majlis kesyukuran sempena penghapusan tol tersebut.

“Untuk itu, kami di BN dan Umno Selangor mengajak rakyat Selangor terutamanya warga Shah Alam & Klang untuk turut serta dalam Majlis Kesyukuran yang akan diadakan pada Ahad ini sempena malam Tahun Baharu 2018 di dua plaza tol berkenaan,” katanya.