23 Persatuan Penduduk Shah Alam terima geran KPKT

Pengerusi Pembangunan Persekutuan Parlimen Shah Alam, Datuk Azhari Shaari (depan, lima dari kiri) dan Koordinator Pembangunan Persekutuan Dewan Undangan Negeri Kota Anggerik, Datuk Nor Hisham Ses (depan, enam dari kiri) bergambar bersama wakil 23 persatuan penduduk dari kawasan Parlimen Shah Alam di UMNO Bahagian Shah Alam di sini

SHAH ALAM 18 Dis. – Sebanyak 23 persatuan penduduk di bandaraya ini menerima geran sebanyak RM10, 000 setiap persatuan dari Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) di sini hari ini.

Menurut Pengerusi Pembangunan Persekutuan Parlimen Shah Alam, Datuk Azhari Shaari, pemberian geran tersebut membuktikan pihak Kerajaan Persekutuan mahu melihat masyarakat bandar sentiasa melaksanakan program untuk memastikan masyarakat kekal sejahtera.

“Geran yang pihak Kerajaan Persekutuan melalui KPKT ini kita agihkan kepada persatuan penduduk yang berdaftar. Pendaftaran ini penting bagi memastikan kita memberi kepada golongan sasaran.

“Peningkatan kos hidup menyukarkan penduduk untuk bergerak dari segi kewangan kerana setiap aktiviti memerlukan kos. Kita sedar penduduk di bandaraya ini mempunyai prioriti lain, justeru kita sediakan geran ini, “katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Geran Persatuan Penduduk Shah Alam – Fasa 1 di sini hari ini.

Yang hadir sama ialah Koordinator Pembangunan Persekutuan Dewan Undangan Negeri Kota Anggerik, Datuk Nor Hisham Ses.

Azhari berkata, pihaknya berhasrat untuk mewujudkan masyarakat bandar yang lebih harmoni dan bersatu hati bagi menghadapi musibah yang mendatang.

“Banyak program boleh dijalankan dengan geran ini. Misalnya kempen pencegahan nyamuk aedes, senam robik, ceramah kesihatan mahupun sukaneka, “katanya.

Beliau menambah, setiap geran yang disumbang perlu digunakan dengan bijak bagi mencapai objektif yang ditetapkan pihak KPKT. Zack Idris